Ahad, Julai 25

Graf Kehidupan

Bismillahirrahmanirrahim.

Cuti musim sejuk bermula. Sudah awal-awal ditanam dalam diri, aku mahu mencari ilmu kerana menyedari ilmu yang ada didada hanyalah sebesar biji sawi.

Pepatah India ada menyebut,
"Apa yang dicedok adalah apa yang ada di dalam periuk!"

Teen Circle yang dibuat setiap pagi ahad adalah atas cadangan dan perancangan kawan-kawan. Di dalam teen circle itu kami berdiskusi. Kerisauan aku adalah pada satu perkara, mahu berkongsi namun kalau tiada isi, adakah bicara masuk ke hati?nak memberi pun belum tentu lagi jika ilmu tiada dalam diri.

YES 2010 (Youthful Extraordinary muslimS) mengamit rasa jiwa. Antara speakers yang dijemput adalah speakers yang hebat. Ustaz Nushi pernah memberi pengisian ketika aku membuat persediaan di Taylors. Seorang lagi adalah Abang Din, novelis Hidayah Cinta.

"Menarik ni!" hati berbisik, bibir melakar senyum.

Ilmu takkan datang jika tak dicari. Hati makin dahaga dan lapar jika tak diisi. lagipun, aku memang mahu tahu pengalaman menulis dari novelis cinta islamik yang sudah jauh mengembara ini. Ustaz Nushi tak kurang hebat, sarat dengan ilmu dan pengalaman. Jika aku dapat ilmu dari sini, insha Allah boleh dikongsi dalam Teen Circle, itu bicara hati.

Graf Kehidupan

"Anda semua diminta untuk melukis kan graf kehidupan masing-masing dalam masa 5minit" facy mengeluarkan arahan untuk LDK (Latihan Dalam Kumpulan)

aku termenung panjang.

Kehidupan? baru semalam rasanya aku reverse ke belakang,sebentar. Melihat dan menganalisa kehidupan aku yang dulu. Jujurnya, aku benci untuk mengulang kisah-kisah lama yang menyakitkan hati. Tapi dek kerana aku sudahpun berniat untuk mendapatkan ilmu sebanyak-banyaknya di dalam program ini, dengan berat hati, graf aku, terlukis.

satu persatu kisah didengari mengikut lakaran graf kehidupan rakan-rakan kumpulan ku. Pabila graf itu meninggi tandanya mereka di saat yang bahagia. Bersama keluarga tercinta, kejayaan yang cemerlang dan sebagainya. Aku juga mengulang kisah yang sama, graf tertinggi adalah saat di SMAPK. yang paling rendah? entahlah.

Mud orang terakhir. Lakaran dia, yang awalnya disorok dari pandangan kami, diletakkan ditengah-tengah bulatan.

Aku terkejut dan tersenyum, "graf itu mendatar, patutlah disoroknya"

"Inilah graf kehidupan saya sehingga hari ini. mendatar. Pada pendapat saya, dalam hidup ni, setiap kali ada perkara yang menyakitkan datang, mesti ada perkara yang gembira yang menyusul, tak adil rasanya untuk buat graf yang turun naik" dia menerang dengan mudah.

senyum di bibirku tadi mula menghilang. rasa sebak meruntun hati.

sungguh, tak adil mempertikaikan takdir Allah yang Maha sempurna. Pabila aku berseorangan berbicara dengan tuhan, selalu benar lidah mengatakan terimakasih kerana memberi yang terbaik buat diri. Tapi hari ni, seolahnya aku lupa pada kata-kata yang ku ucapkan sebelum ini.

"Allahurabbi,ampunkan kami. Kau berikan kecukupan pada kami sehingga tak mampu untuk kami meminta dari orang lain melainkan Engkau sendiri ya Allah" rasa bersalah mencengkam.

jarang benar kami bersyukur, kerap pula kami merungut-rungut..ampunkan kami ya Rabb.

muhasabah diri lagi,

"apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan "Kami telah beriman, " sedangkan mereka tak diuji? Dan sungguh kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan orang-orang yang dusta"
(Al Ankabut 29: 2-3)