Isnin, Jun 17

Tiada titik noktah untuk berhenti bersyukur

Bismillahirrahmanirrahim

Usai solat asar semalam, dalam doa, air jernih itu tiba-tiba gugur. Sebak. Ana kenang satu-satu anugerah Allah buat diri. Siapa aku hinggakan Allah melayani aku sebegitu sempurna..malu tertunduk dengan Allah..

Dari saatnya ana lahir. Diberi keluarga yang menceriakan, dikurniakan sahabat-sahabat soleh solehah, dipermudahkan urusan pembelajaran, diberi pula kerja yang baik, dikurniakan pasangan yang membahagiakan..apa lagi insan yang bernama Nurul Farhanah ini mahukan lagi..sungguh ya Allah, aku merasa terlebih cukup dengan kurniakan nikmat ini. rasa tidak layak untuk merasa nikmat semanis ini. sesak nafas rasanya mencari titik henti untuk bersyukur..baru mengerti, betapa di saat malam hening, Rasulullah Sallahualaihi Wassalam itu tidak berhenti beribadah dan tatkala ditanya oleh Aisyah Radiallahu Anhu, "Mengapa engkau terus beribadah dengan kuat, bukankah anda sudahpun dijanji syurga"
"Salahkah aku untuk menjadi Hamba Yang Bersyukur" kata-kata yang penuh erti membuatkan hati ana basah di petang bening ini.

Sebelum solat tadi, satu emel masuk.

'Yang Dirai : Cik Ana'

Tag itu membuatkan aku terpana. rupa-rupanya teman sepejabat  merancang jamuan perpisahan untuk ana. sayunya. Awal kemasukan di Jabatan Perdana Menteri ini, ada rasa bimbang menyelinap dalam hati. Bimbang suasana baru. Bagaimana penerimaan mereka, Apa pula pandangan ana..Namun solat hajat dan doa pada Rabbul A'la itu yang mendamaikan dan menyejukkan hati. Rupanya Allah beri hikmah besar di sini. Walau terkadang digelar ustazah, adik, anak, kawan dan sebagainya, mereka tak kekok melayan ana seadanya ana. Menerima dan memaafkan. Menceria dan membahagiakan. Subhanallah, ukhuwah dan cinta itu ada di mana-mana. Selagi berpaksi kita pada Allah dan nabiNya.

Emel itu juga mengingatkan ana, yang detik-detik terakhir di sini semakin hampir. Ana sahaja yang tidak sempat untuk memikirkannya. Maafkan ana T_T

sedikit kata-kata dari hati ditinta, buat sahabat-sahabat di SPID, Unit Pengambilan, dan lain-lainnya di Jabatan Perdana Menteri ini..

Kata orang, andai bencikan perpisahan salahkanlah pertemuan kerana andai tiada pertemuan maka tiadalah perpisahan.

Namun kata kita,
Tangisi perpisahan dengan senyuman. Kerana walaupun perit ianya meninggalkan kenangan terindah dalam memori hidup kita. Dengan perpisahan juga kita lebih menghargai insan-insan yang kita sayang. Dalam menangisi perpisahan, jangan dilupa berterima kasih kepada pertemuan. Kerana pertemuan itu yang mencambahkan rasa cinta, ukhuwah, persaudaraan dan persahabatan.

Kalian akan menjadi sebahagian kenangan terindah dalam kanvas kehidupan saya.
Syukur pada Pencinta Teragung itu kerana tidak pernah lokek menempatkan saya dikalangan insan-insan yang penuh dengan cinta dan kasih sayang.

Guru saya pernah berkongsi kata-kata. Bercinta kerana Allah, bertemu berpisah pasti tak gelisah Insha Allah. Kerana saat kita rindu kenangan bersama, kita masih mempunyai tuhan yang sama untuk berkongsi rasa.

Terima kasih tidak pernah kering dalam berbahagi rasa bahagia dengan saya. Setahun ini mengingatkan saya hanya lah seorang hamba Allah yang kerdil. Tidak punya apa-apa, tetapi Allah memberi saya segalanya dengan kehadiran kalian sebagai pelakar warna-warni dalam kanvas kehidupan saya.

Mohon maaf atas segala kekhilafan dari hamba yang sangat rendah adab dan akhlaknya. Maaf atas hak yang tidak tertunai, hutang yang tak terbayar, barang yang dipinjam tanpa izin, umpatan dan kata-kata dalam sedar atau tidak. Mohon dihalalkan segalanya. Andai ada tuntutan yang mahu dibuat, boleh berjumpa terus kepada saya.

 Hanya Allah Yang Maha Sempurna untuk membalas segala jasa, kebaikan, pengorbanan, tunjuk ajar, cinta dan kasih sayang kalian. Jazakallahu khairan jazak. Semoga Allah membalasnya dengan hadiah maha sempurna untuk kalian.  

Ya rabb, cintailah mereka dengan cintaMu, Muliakan mereka dengan KemulianMu, Bahagiakan mereka dengan Kasih SayangMu. Moga bertemu lagi. Andai tak di dunia, insha Allah di syurga sana ^_^